Friday 29 June 2012

TERUSKAN PERJUANGAN

Satu persatu students datang dan pergi.  Dimanakah mungkin titik noktahnya?

Thursday 26 January 2012

Inkuiri: Bermulanya sebuah penyiasatan

Pengalaman Sebagai Nota Permulaan

Segalanya bermula apabila aku dijemput untuk menjadi penceramah di Maktab Rendah Sains Mara di Selatan Tanahair.  Menemui guru-guru yang rata-ratanya telah berpengalaman memang merupakan satu perkongsian ilmu dan sejarah keguruan yang amat menguja untuk diceritakan.  Dengan diiringi latar belakang mendidik dan mentarbiyah sebagi misi dan tekad kami, aku menjelaskan makna inkuiri dan bagaimana untuk melaksanakannya dalam dunia bilik darjah yang dilalui seharian.

"Bagaimanakah untuk melaksanakannya, sedangkan kami dikekang untuk menghabiskan silibus yang amat banyak?", ungkapan dan pertanyaan pertama yang mesti kuhadapi.  Tergambar dibenak fikiranku, seperti sebuah anak panah yang meluncur deras dan tepat tercacak di tengah jantungku setelah dilepaskan daripada busurnya.

"Bagaimana pendapat cikgu yang lain?", sambil menahan nafas kulontarkan kembali soalan tersebut kepada peserta yang lain.  Ruang bilik yang luas itu kedengaran gumam yang bertalu-talu.  Kupandang wajah guru-guru dihadapanku itu.  Sesetengahnya tersenyum manakala yang lainnya mengerutkan wajah.  Aku memahami tingkahlaku tersebut, kekeliruan dan gambaran keresahan yang telah lama bermain dalam minda mereka.  Sekalipun bukan minda sedar pastinya separa sedar.

"Mungkin ia hanya sesuai sebagai sebuah teori." satu ungkapan kedengaran.

Dan bermulalah sebuah sesi bengkel yang menuntut penerangan, pengaplikasian, perancangan, perlaksanaan, perbincangan, aktiviti kumpulan, meneroka permainan, menyiasat fenomena di sekeliling dan mengaitkannya dengan kehidupan, membentuk persoalan dan berusaha untuk mendapatkan jawapan.  Hinggalah akhirnya di penghujung aktiviti kami membina sebuah konklusi.

"Jika kita ingin sebuah masyarakat yang kreatif, kita perlu melaksanakan inkuiri ini" tegas seorang guru yang dari awal cukup aktif mengemukakan persoalan.

"Kami akan melaksanakannya, kerana ianya satu strategi yang cukup menarik minat pelajar.  Moga Dr. boleh meneruskan lagi bengkel seperti ini" sokong seorang guru yang lain.

Buat sejenak, aku memandang mata-mata peserta.  Kuhembuskan nafas dalam-dalam.  Kurasai denyut nadi diri dan kurasai hawa air-cond dari penjuru-penjuru bilik. "Syukurlah" bisik hatiku.  Sesungguhnya mereka mula menyedari ilmu yang dikongsikan.

Iktibar Dari Pengalaman

Sesungguhnya pengalaman ini amat luas maknanya... sekurang-kurangnya pada diriku sendiri.  Inkuiri yang merupakan usaha untuk menyiasat dan mendapatkan bukti daripada segala fenomena yang wujud di sekeliling.  Fenomena tersebut boleh merupakan objek, peristiwa, kejadian, perubahan dan sebagainya.

Dan alangkah banyaknya fenomena yang berlaku di sekeliling yang melingkari seluruh kehidupanku.  Bermula daripada apa yang didengar di corong radio, ditonton di televisyen, didengar dari perbualan, dilihat melalui pemerhatian di persekitaran... semuanya berterusan melingkar dan terus membelit fitrah kehidupan.  Dan di sanalah segalanya memerlukan inkuiri ini.

"Apakah aku telah mengamalkan inkuiri dalam kehidupanku?" lontaran soalan dipenjuru hatiku.  Soalan yang meronta-ronta memohon jawapan.

Masih jelas dalam ingatan...  Betapa memang amat jelas dalam memori pemikiran.  Berita yang bertali arus... tidak pernah putus-putus....

Seorang tokoh politik terlibat dalam skandal seks.
Seorang isteri tokoh politik terlibat dalam pembelian cincin dan beg tangan yang amat berharga.
Seorang artis terlibat dalam kes perceraian akibat kecurangan.
Ekonomi dunia semakin musnah.
Alam sekitar kian terancam.
Matahari memancarkan radiasi tinggi akibat ribut matahari.
Syarikat makanan segera yang popular akan dijual kepada bangsa asing.

Semua berita yang menerbitkan rasa resah... tapi ianya sebuah kisah kehidupan.  Dan di dalam perbincangan, aku melihat sekelompok manusia yang menelan seluruh berita dengan rakusnya.  Tidak memamah apatah lagi mengunyahnya... sebaliknya terus menerima tanpa sebarang inkuiri. 

"Apakah kita tidak perlu menyiasat berita ini?", hatiku terus membisik jauh di sudut sanubari.

"Bukankah kita perlu memiliki inkuiri untuk menapis, menyaring, memikir dan akhirnya... membuat keputusan sama ada ianya benar atau tidak." tak tertahan lagi ruang fikirku berasak-asak menyoal diriku sendiri.

Akhirnya aku membuat keputusan... "Aku perlu mengamalkan inkuiri ini.  Ya aku mesti mengamalkannya.  Jika aku mampu berceramah mengenainya... aku juga mesti mengamalkannya dalam kehidupanku".